Umum sedia maklum bahawa ekonomi negara kita tidak berada dalam keadaan yang baik. Mengikut data dan kajian yang dilakukan, seorang graduan akan dibebani hutang pengajian PTPTN sekurang-kurangnya RM18,000 sebaik sahaja tamat pengajian dan hal ini dirumitkan lagi dengan kesukaran memperoleh pekerjaan. Saya menulis tips ini
berdasarkan pengalaman sendiri melakukan pelbagai aktiviti perniagaan sepanjang saya bergelar sebagai seorang graduan.

  1. Start small, but start now
    Untuk graduan, pastikan anda memulakan perniagaan dengan modal yang kecil. Saya bernasib baik untuk menerima elaun sebanyak RM1,000 semasa pengajian Asasi di UiTM dan saya gunakan hampir keseluruhan duit tersebut untuk memulakan perniagaan. Dengan modal serendah RM100, anda boleh menyertai pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh kolej/universiti seperti pesta konvokesyen atau hari terbuka kolej/fakulti untuk anda memulakan perniagaan. Saya bermula dengan menjual sandwich di hari terbuka fakulti dan dalam tempoh dua hari, saya berjaya meraih untung hampir 300%. Saya terus menyertai pelbagai aktiviti fakulti/kolej/university yang boleh memberikan saya platform perniagaan sehingga saya tamat pengajian.
  2. Cari rakan kongsi dan cari peluang
    Dengan sandwich di hari terbuka fakulti, saya bercita-cita untuk menggandakan keuntungan saya. Mencari rakan kongsi adalah penting untuk anda bagi berkongsi risiko dan modal untuk perniagaan yang lebih besar. Saya sentiasa mencari rujukan dan idea di internet seperti laman web majalah.com yang menyediakan 1001 peluang perniagaan dan rakan kongsi. Dengan sedikit keuntungan yang saya perolehi, saya membeli dapur
    ayam goreng Uncle Bob dan menjadi rakan kongsi dengan kakak saya untuk menceburi perniagaan bazar Ramadhan. Alhamdulillah, perkongsian kami berjaya dan kini kami mempunyai sebuah kafe makanan jepun di Pulau Pinang.
  3. Jangan membazir dan buat part time
    Selain menerima elaun RM1,000 bagi setiap semester semasa di pengajian Asasi, saya turut menerima elaun daripada ibu ayah saya sebanyak RM100 seminggu. Saya berjimat cermat dalam membelanjakan duit yang saya terima dengan menetapkan kuota bagi setiap perkara. Sebagai contoh, saya tetapkan kuota untuk menonton wayang sebulan sekali dan makan di luar tiga kali seminggu. Penetapan kuota dapat membantu anda berjimat. Selain itu, semasa saya di awal pengajian ijazah, kebanyakan kelas adalah di sebelah pagi. Jadi saya gunakan waktu lapang di sebelah petang untuk melakukan part-time mengajar tutor bagi subjek UPSR. Upah yang saya terima iaitu RM30 sejam adalahsangat berbaloi dengan kerja yang dilakukan. Saya boleh memperolehi sekurang-kurangnya RM700 sebulan hanya dengan menjadi tutor.
  4. Kerja keras
    Saya memang suka mengembara dunia dan saya menghampiri beberapa syarikat perlancongan semasa saya di tahun dua pengajian dan memohon untuk menjadi pemandu pelancong mereka. Pengalaman ini saya gunakan untuk menubuhkan perniagaan pelancongan backpacking saya sendiri semasa saya di tahun akhir. Dengan bermodalkan tiket penerbangan dan penginapan, saya tinggal selama sebulan di luar negara untuk bekerja sebagai pemandu pelancong pada setiap cuti semester. Anda juga boleh melakukan apa-apa perniagaan sewaktu anda bercuti semester. Jangan bazirkan usia muda anda.
  5. Pelaburan
    Kalau anda rajin mengkaji trend jutawan dan billionaire terkemuka, majoritinya meraih kekayaan mereka dengan pelaburan dan biarkan orang lain yang bekerja untuk mereka. Selepas mempunyai modal yang agak besar, saya melaburkan duit yang saya peroleh dalam beberapa perniagaan, i.e. sebuah kafetaria di universiti awam, perniagaan ruang makan di RnR dan rakan saya yang mahukan modal lebih besar untuk perniagaan carwashnya. Ini semua pelaburan jangka pendek dan memberikan saya keuntungan berlipat ganda dengan modal sekitar RM 5,000 sahaja.

Dengan tips yang saya berikan di atas, saya percaya anda mampu meraih RM 20,000 pertama anda sebaik sahaja anda menamatkan tiga atau empat tahun anda di menara gading. Duit tersebut boleh terus digunakan sebagai modal perniagaan dan pelbagai lagi perkara penting dalam hidup anda.

Nazmi Zaini, 24 tahun adalah seorang peguam dan jurulatih debat. Beliau berkicau di @NazmiMZaini dan boleh dihubungi melalui nazmimzaini@gmail.com.
Admin Saseroba

Author Admin Saseroba

More posts by Admin Saseroba

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Share