Nota Merdeka
Menjelang hari ulangtahun kemerdekaan tahun ini: Satu peringatan untuk diri – dan juga kepada anak-anak muda yang rata-rata di luar dan di dalam negara : agar dapat memperkasakan lagi agama, bahasa, sejarah, dan identiti negara. Luaskan lagi bahan bacaan, tingkatkan lagi usaha untuk menggeledah dan memahami sumber-sumber ilmu tanah Melayu dahulu yang telah lama terkubur, seiring dengan pengamatan intipati pendidikan oleh negara luar.
Tanyalah pada diri, apakah yang telah ditinggalkan oleh golongan intelektual terdahulu, cabar diri dengan idea-idea baru, yang bermanfaat kepada manusia sejagat. Terlalu ramai penduduk Malaysia hari ini (termasuk diri sendiri) yang telah alpa dengan teknologi, dan memandang enteng pada nilai-nilai kemanusiaan serta ilmu-ilmu yang bermanfaat yang telah diturunkan oleh cendekiawan terdahulu.
Sumber bacaan yang terhad, dan sering berkiblatkan pada satu sumber primer sahaja (contoh: Barat) menyekat pemikiran anak muda yang masih subur dan mekar. Anak-anak muda merupakan cerminan bangsa dan juga pewaris budaya pada masa hadapan. Fikir-fikirkanlah setiap langkah yang diambil, ‘apakah kesan tindakan saya pada hari ini dapat memberi manfaat terhadap alam, agama, dan juga masyarakat.’ Jadilah insan yang berguna dan berani. Selamat Hari Merdeka, anak Malaysia!
Nota yang telah ditulis pada Jumaat, 31 Ogos 2018 di sebuah kafe di Kuala Lumpur.