RSVP here
Kenyataan-Akhbar-Koperasi-SASEROBA-Berhad-19.09.2018-Pemakluman-Mesyuarat-Agung-Kali-Pertama-1
Kuala Lumpur, 19 September 2018 – Jawatankuasa Penaja Koperasi Saseroba Berhad mengeluarkan nota pemakluman kepada bekas-bekas pelajar SM Sains Tuanku Munawir atau (terdahulu dikenali sebagai SM Sains Seremban) – SASER berhubung Mesyuarat Agung Kali Pertama bagi Koperasi SASEROBA Berhad. Mesyuarat ini akan berlangsung pada hari Sabtu, bertarikh 29 September 2018 yang bermula tepat Jam 2 petang. Majlis yang dijangka akan dihadiri oleh 70 orang bakal anggota koperasi ini akan diadakan di dalam sebuah Auditorium yang bertempat di Institute of Leadership & Development (ILD) UiTM, Lebuh Enstek, Bandar Enstek 71760 Nilai, Negeri Sembilan.
Tujuan utama mesyuarat ini diadakan selain memenuhi arahan wajib Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) adalah untuk melantik 9 orang Ahli Lembaga Koperasi (ALK) serta seorang Juruaudit dalaman dari kalangan bakal anggota. Disamping itu, mesyuarat ini juga perlu meneliti dan meluluskan perkara-perkara yang melibatkan “statutory requirement”, undang-undang kecil koperasi (UUK), modal serta lain-lain berkaitan pengurusan organisasi dan kewangan koperasi.
Koperasi SASEROBA Berhad yang bakal ditubuhkan melalui mesyuarat ini mempunyai visi untuk menjadi sebuah pertubuhan perniagaan Koperasi yang unggul untuk meningkatkan pendapatan dan taraf hidup anggota. Bagi mendukung visi tersebut, Koperasi mempunyai misi untuk menyediakan ruang serta menguruskan peluang melalui pertubuhan Koperasi sebagai satu pentas perniagaan berpusat yang berkesan melalui urus tadbir terbaik, telus, cekap, amanah dan adil. Koperasi ini mempunyai lima teras objektif tindakan yang jelas iaitu
- Memasarkan produk pengguna jenama milik Koperasi kepada orang awam;
- Menjana kewangan Koperasi melalui aktiviti pemborongan, pemasaran, pengilangan, transaksi ekuiti dan lain-lain;
- Menggalakkan, menyokong dan mempromosi aktiviti perniagaan dari kalangan anggota;
- Memberi peluang pendapatan alternatif kepada anggota samada dari kerjasama kegiatan pemasaran produk, perkongsian komisen bulanan kumpulan, hibah berkala pemegang syer koperasi, dividen atau lain-lain kaedah yang membawa maksud yang sama;
- Memberi sumbangan melalui pelbagai faedah berkumpulan secara langsung atau tidak langsung kepada anggota.
Semua bekas pelajar adalah dijemput hadir bagi menjayakan usaha yang murni ini untuk kebaikan bersama. Bekas-bekas pelajar yang berminat menghadiri mesyuarat ini disaran untuk melengkapkan borang pengesahan kehadiran serta menyampaikan usul di dalam laman web koperasi – https://koperasi.saseroba.org.
Sekian,
Terima Kasih


