Prosedur Ikat Jamin di Mahkamah
Jamin atau “bail” adalah satu jaminan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa atau pihak Mahkamah kepada Tertuduh untuk menghadirkan diri ke Mahkamah bagi menjawab pertuduhan ke atasnya.
Semasa di Mahkamah, bagi kesalahan-kesalahan yang dikategorikan sebagai “bailable offences” atau kesalahan yang dibenarkan jamin, Mahkamah akan membenarkan Tertuduh diikat jamin. Ia berbentuk pelepasan sementara bagi Tertuduh dengan mengemukakancagaran dan disertakan dengan aku janji penjamin bagi memastikan kehadiran Tertuduh sepanjang perbicaraan di Mahkamah. Terdapat empat jenis ikat jamin yang dibenarkan oleh Mahkamah:
- Bond persendirian dengan jaminan
- Bond persendirian tanpa jaminan
- Bond dengan jaminan tanpa penjamin
- Bond dengan jaminan dengan penjamin atau penjamin-penjamin.
Menurut seksyen 389 Kanun Tatacara Jenayah, amaun jaminan ditentukan oleh pihak Mahkamah. Semasa dijamin, penjamin perlu menandatangani satu borang yang dipanggil sebagai bond jaminan dan syarat-syarat bagi prosedur tersebut adalah termaktub di bawah budi bicara Mahkamah dan kebiasaannya adalah berlainan mengikut kesalahan dan fakta bagi setiap kes.
Syarat-syarat seorang penjamin adalah melebihi umur 18 tahun, berkemampuan mengemukakan jumlah ikat jamin yang ditetapkan oleh Mahkamah, bersedia mematuhi syarat-syarat lain yang ditetapkan oleh Mahkamah dan bertanggungjawab memastikan kehadiran Tertuduh sepanjang tempoh perbicaraan. Sekiranya dalam senario dimana Tertuduh gagal untuk hadir ke Mahkamah, penjamin perlu hadir ke Mahkamah dan menjelaskan ketidakhadiran Tertuduh.
Sekiranya penjamin gagal atau ingkar untuk mematuhi syarat-syarat jaminan tersebut, Mahkamah boleh melucutkan hak jaminan tersebut dan cagaran bagi jaminan tersebut akan dirampas oleh Mahkamah. Cagaran-cagaran yang diterima oleh Mahkamah kebiasaannya ialah akaun simpanan tetap atau geran tanah.
Faktor-faktor yang mempengaruhi dan yang akan dipertimbangkan oleh Mahkamah dalam menentukan jumlah ikat jamin tersebut adalah:-
- Jenis kesalahan dan keseriusan kesalahan Tertuduh;
- Hukuman bagi kesalahan tersebut;
- Latar belakang keluarga Tertuduh dan Penjamin;
- Kepentingan awam.
Melalui perkongsian ini, diharapkan ianya membantu masyarakat awam terutamanya mengenai prosedur dan proses mahkamah.
Ditulis oleh:
Muhamad Kamal Adha bin Mohd Harozi
KAMAL FARHANA & PARTNERS
PENAFIAN:
Perkongsian ini hanyalah berbentuk ilmiah dan pencerahan kepada masyarakat awam.
*dikepilkan bersama muka hadapan Kanun Tatacara Jenayah (Criminal Procedure Code [Act 593]) dan Seksyen 389 akta yang sama.