Skip to main content

Dalam ekonomi, sudah menjadi kebiasaan untuk ada naik dan turunnya. Apabila ekonomi jatuh, semua orang akan berasa takut untuk mengeluarkan duit mereka. Tidak kiralah untuk keperluan hidup mereka seperti makanan mahupun kehendak mereka seperti produk terbaru Apple, Iphone X. Namun begitu, apabila keadaan ekonomi meningkat baik, orang ramai akan lebih mudah untuk mengeluarkan wang dari poket mereka lagaknya seperti orang kaya. Mereka tidak takut untuk membelanjakan wang mereka sebagaimana sewaktu keadaan ekonomi yang tidak baik.

Akan tetapi, bagi seorang pelabur konsepnya bertentangan dari konsep di atas. Mereka akan menyimpan pendapatan mereka apabila ekonomi sedang baik, dan melabur simpanan mereka sewaktu ekonomi sedang teruk. Mengapakah keadaan ini berlaku?

Keadaan ini dapat diterangkan dengan lebih baik dengan konsep Supply and Demand. Supply boleh memberi maksud stok dan Demand memberi maksud permintaan. Perkaitan antara stok dan permintaan ialah apabila banyaknya permintaan, stok akan tidak mencukupi. Apabila stok tidak mencukupi, harga barang menjadi semakin mahal kerana makin sukar didapati di pasaran. Namun begitu, apabila stok berlebihan dan permintaan berkurangan, harga akan menjadi semakin murah kerana lambakan stok di pasaran yang tidak dijual. Oleh itu, peniaga akan mengurangkan harga barangan mereka untuk menghabiskan stok. Contohnya seperti jualan penghabisan stok di pasaraya seperti Aeon dan Giant. Promosi ini dilakukan untuk menghabiskan stok yang bermusim.

Orang kebanyakan memainkan peranan penting dalam hal ini kerana kuasa membeli terletak kepada mereka. Penanda aras bagi keadaan ekonomi ialah apabila pengguna sanggup menghabiskan seberapa banyak wang pun untuk mendapatkan apa yang mereka kehendaki. Semakin ramai orang membeli, semakin berkurangnya stok. Lantas ia akan menghasilkan reaksi kepada harga barangan di pasaran. Sebaliknya jika kurangnya orang membeli, harga barangan di pasaran akan berkurangan.

Pelabur mengambil kesempatan terhadap keadaan di atas. Ini kerana mereka mengamalkan konsep untuk beli dengan harga murah, dan jual dengan harga mahal. Bagaimanakah caranya untuk mengaplikasikan teknik ini? Seperti yang dikatakan sebelum ini, kebanyakan pelabur tegar akan menyimpan wang pelaburan mereka di waktu ekonomi sedang melonjak naik. Ini kerana mereka faham akan asas ekonomi di mana pasti akan ada naik dan turunnya. Mereka akan menggunakan signal-signal yang diberikan melalui berita, pengumuman dari Bank Negara dan juga bacaan terus di Bursa. Walaupun pelabur biasanya akan melibatkan diri mereka di skala makro, namun skala mikro memainkan peranan yang sangat penting untuk menentukan harga-harga saham.

Bagi skala mikro atau seorang individu, pastinya ada waktu di mana keadaan kewangan menjadi sangat stabil seperti selepas mendapat bonus dan ‘claim‘. Apabila keadaan ini berlaku, individu kebiasaannya akan menggunakan wang tersebut untuk berjoli dan menghabiskan wang mereka secepat mungkin. Ini adalah aktiviti yang tidak sihat.

Waktu kewangan tidak baik pula adalah apabila mendapat gaji lambat, kena langsaikan yuran tahunan seperti cukai dan insurans kenderaan dan juga apabila berlaku keadaan yang tidak diingini seperti kemalangan jalan raya. Pada waktu ini seorang individu perlu mengeluarkan simpanan mereka dan mungkin juga perlu menjual aset mereka untuk menanggung segala kos.

Bagi seorang individu, apakah yang seharusnya dilakukan untuk memastikan pengurusan kewangan yang terbaik? Dalam situasi seorang pelajar yang menerima bantuan kewangan tidak kiralah biasiswa, PTPTN mahupun duit belanja dari ibu bapa, mereka perlu menyimpan bermula saat mereka menerima bantuan tersebut. Ini kerana mereka tidak akan tahu keadaan mereka di masa depan. Keadaan mereka sewaktu menerima bantuan tersebut boleh dikira sebagai keadaan ekonomi yang baik. Amatlah penting untuk mereka membuat tabung-tabung simpanan seperti tabung kecemasan, tabung kahwin, tabung pelaburan dan tabung masa depan. Ini adalah supaya mereka bersedia untuk menghadapi keadaan di mana ekonomi mereka sendiri menjadi tidak baik antaranya seperti berikut:

  1. Memulakan hidup baru selepas tamat pelajaran
  2. Menunggu untuk mendapat pekerjaan: kebiasannya dalam tempoh tiga bulan
  3. Bayaran-bayaran lain seperti denda buku perpustakaan yang hilang, saman kereta dari tahun satu, bayar kerosakan rumah sewa dan sebagainya.

Dengan perancangan yang baik, jika kita menyimpan di waktu kita senang, kita tidak akan rasa terlalu susah jika kita terperangkap dalam situasi mengejut. Menyimpan di kala senang adalah salah satu teknik untuk menyelamatkan diri dari risiko-risiko.

Akhir sekali, mungkin juga kita sudah buat perancangan yang baik, namun masih menghadapi masalah. Doalah sebanyak mungkin agar dimudahkan urusan dan carilah pakar-pakar yang dapat bantu kita selesaikan masalah tersebut. Ilmu kewangan sangat penting dan perlulah dituntut seawal mungkin untuk mengelakkan diri dari melakukan kesilapan-kesilapan yang tidak diingini.

– Fateh Lani, Batch 8
Admin Saseroba

Author Admin Saseroba

More posts by Admin Saseroba

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.