Skip to main content

Sesi Town Hall Koperasi Saseroba Berhad

Pada 4 Februari 2024 yang lalu, satu sesi “Town Hall SASEROBA” telah diadakan di Royal Selangor Club, Bukit Kiara, Kuala Lumpur. Sesi tersebut telah dihadiri seramai lebih kurang 30 orang alumni SASER. Fokus utama kali ini adalah penjenamaan semula KOPERASI SASEROBA BERHAD yang telah dimulakan beberapa tahun dahulu. Selain itu juga, topik-topik perbincangan lain adalah berkaitan penglibatan alumni di dalam pasukan Ragbi sekolah, Dark Horse, dan isu-isu berbangkit yang lain.

Rata-rata alumni yang hadir telah memberikan reaksi yang memberangsangkan terhadap penjenamaan semula KOPERASI SASEROBA BERHAD. Untuk pengetahuan, satu perbincangan telah dilaksanakan oleh wakil SASEROBA bersama pihak Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi memeriksa status koperasi. Alhamdulilah, Koperasi SASEROBA masih lagi wujud, cuma berada di dalam status “dormant”. Satu sesi pembentangan mengenai hala tuju, manfaat dan kemudahan yang ditawarkan telah disampaikan kepada peserta yang hadir sekiranya koperasi itu berfungsi dan digunakan sebaiknya. Penerangan yang jelas dan terperinci tersebut telah diberikan oleh wakil Anggota Lembaga Koperasi (ALK) bagi sesi yang lalu, Saudara Nizam Bahrinal (Batch 4) atau Pilah.

Isu-isu berbangkit yang diutarakan semasa sesi “Townhall” tersebut adalah makluman takwim SASEROBA serta program-program akan datang, antaranya “Old Boys Weekend”, pertandingan bola sepak, pertandingan rugbi, larian bersama SASEROBA dan bermacam-macam aktiviti yang direncanakan sepanjang tahun 2024.

Wakil daripada Kelab Ragbi SASEROBA Dark Horse, Saudara Mukhsin (Batch 7) menyatakan hasrat beliau bagi memohon sumbangan bagi pasukan ragbi sekolah. Kerana buat julung kalinya, pasukan ragbi sekolah telah terpilih mewakili Negeri Sembilan di dalam kejohanan ragbi peringkat kebangsaan yang akan dijalankan tidak lama lagi. Ini adalah satu kejayaan yang amat membanggakan sama ada bagi pihak alumni mahupun pihak sekolah. Oleh itu, wakil Kelab Dark Horse memohon sumbangan daripada pihak alumni dan pihak SASEROBA bagi menyuntik semangat dan membantu menaikkan moral pasukan ragbi SASER.

Kesimpulannya, misi dan visi program kali ini telah berjaya dicapai bagi memberikan pendedahan berkenaan takwim SASEROBA bagi tahun 2024, penjenamaan semula atau rejuvenasi KOPERASI SASEROBA BERHAD dan permohonan sumbangan bagi pasukan ragbi sekolah. Pihak SASEROBA mengucapkan jutaan penghargaan kepada ahli-ahli SASEROBA yang sanggup hadir bagi memberikan sokongan kepada persatuan kita. Semoga terus berjaya!

“SASER Namamu Teratas”

Admin Saseroba

Author Admin Saseroba

More posts by Admin Saseroba

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Share